UMS Sumbang 500 pelindung muka untuk calon SPM dan STPM SMK Putatan


Sejumlah 500 pelindung muka
UMS Covi-Pro telah disumbangkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada
pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan dalam satu majlis
ringkas baru-baru ini.

Pengarah Pusat Instrumentasi
dan Perkhidmatan Sains (PIPS), Prof. Madya Dr. Zaleha A. Aziz berkata,
sumbangan tersebut merupakan keprihatinan UMS dalam usaha untuk mengekang
penularan pandemik Covid-19 termasuk di kawasan sekolah.

“Diharap sumbangan pelindung
muka ini dapat dimanfaatkan oleh warga SMK Putatan khususnya dalam memudahkan
sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid, Faridah Yanin menyampaikan penghargaan kepada pihak UMS
atas sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini amat bermakna
kepada pihak sekolah khususnya dalam membantu menjamin keselamatan para pelajar
daripada ancaman pandemik COVID-19.

“Ini turut memudahkan pihak
sekolah dalam memastikan setiap langkah prosedur standard (SOP) yang ditetapkan
oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dipatuhi semasa menghadapi peperiksaan SPM
yang bermula pada 23 Februari ini dan STPM yang akan bermula pada bulan Mac
nanti,” katanya.

Faridah turut memaklumkan
pelindung muka tersebut akan diberikan kepada 262 pelajar SPM dan 170 pelajar
STPM untuk kegunaan ketika peperiksaan berlangsung.

Dalam majlis ringkas
tersebut, Faridah mewakili SMK Putatan menerima sumbangan pelindung muka UMS
Covi-Pro yang disampaikan oleh Pegawai Sains PIPS, Noor Azimah Pelah.

Turut menyaksikan penyerahan
sumbangan tersebut ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Dr. Mohd Afendi Arifin;
Penolong Kanan Kokurikulum, Geogre Lease; dan Penolong Kanan Petang, Noriman
Jamatin.

Untuk rekod, sebanyak 250
pelindung muka telah disumbangkan kepada SMK St. Mary Limbahau, Papar pada awal
bulan ini.

Pelindung muka UMS Covi-Pro
dihasilkan oleh pasukan sukarelawan Fakulti Kejuruteraan yang diketuai oleh Dr.
Choong Wai Heng untuk kegunaan kakitangan dan anggota barisan hadapan UMS serta
turut disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di pelbagai agensi antaranya
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Hospital Likas, Institut Latihan Kementerian
Kesihatan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan MASwings Sdn. Bhd.





Source link