TARIAN SUMAZAU DAN NYANYIAN TERAPI PESAKIT COVID-19 BERISIKO RENDAH


PENAMPANG: Bukan mudah menari dan menyanyi dengan memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan memakai pelitup muka N95 dalam keadaan panas dan merimaskan, namun petugas kesihatan tetap komited meneruskan usaha membantu menaikkan semangat pesakit COVID-19 di pusat kuarantin.

Klip video individu mengenakan PPE, mempersembahkan tarian sumazau diringi lagu “Original Sabahan” yang tular dalam media sosial baru-baru ini merupakan salah satu terapi yang digunakan oleh petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersama pasukan Hospital Mesra Bukit Padang untuk pesakit COVID-19 berisiko rendah.

Pakar Psikiatri Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Hospital Mesra Bukit Padang Dr Sivenanthini Purana Visvanathan berkata aktiviti menyanyi dan menari seperti senamrobik dan zumba mula diadakan di pusat kuarantin Pusat Kebudayaan Penampang sejak awal November lepas berikutan aduan pesakit COVID-19 yang merasa bosan dan tertekan apabila duduk di pusat kuarantin.

Dr Sivenanthini berkata sebelum ini jika pesakit didapati murung atau tertekan, mereka akan dirujuk kepada pakar psikiatri untuk sesi kaunseling individu.

“Setiap individu yang masuk ke pusat kuarantin perlu mengisi borang saringan tahap tekanan. Jika seseorang itu memperoleh markah yang tinggi, pakar psikiatri akan memberi bantuan kepada individu berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasukan MHPSS yang mempunyai seramai 20 orang ahli itu mengadakan aktiviti terapi secara berkumpulan seminggu sekali di setiap pusat kuarantin dan setiap sesi diadakan selama 30 minit hingga sejam.

Ketua Pasukan MHPSS daripada JKNS Dr Leydra Philip pula berkata pada awalnya aktiviti itu hanya diadakan dalam komuniti namun apabila ia dilihat sangat berkesan kerana penggunaan muzik yang mudah diterima, maka beliau memasukkan aktiviti berkenaan dalam jadual riadah di pusat kuarantin.

Bagaimanapun, Dr Leydra berkata aktiviti itu akan disesuaikan di setiap pusat kuarantin bergantung kepada keluasan pusat berkenaan bagi menjaga penjarakan fizikal selain ada juga pesakit di pusat kuarantin lain yang memilih melakukan aktiviti pendidikan secara interaktif dalam talian.

Katanya setiap daerah juga diwajibkan mempunyai pasukan MHPSS namun intervensi yang dijalankan berbeza mengikut keadaan, umur dan keperluan pesakit.

Penambahan jumlah pesakit COVID-19 di negeri Sabah pada gelombang ketiga juga antara faktor aktiviti itu dimasukkan dalam jadual riadah di pusat kuarantin.

“Aktiviti ini juga sebagai salah satu kempen #endstigmanow terhadap bekas pesakit COVID-19 dan mereka yang berada dalam pusat kuarantin selain memberi gambaran kepada masyarakat luar tentang keadaan di dalam pusat berkenaan,” katanya yang juga aktif selaku seorang aktivis sosial bagi bekas pesakit COVID-19.

Sementara itu Penolong Pegawai Perubatan Norbert Andilah yang tular menyanyi dengan PPE sambil menyanyikan lagu berjudul “Original Sabahan” itu berkata beliau menyanyi di pusat kuarantin Penampang pada 17 Nov lepas.

Katanya lagu yang berentak seperti tarian sumazau itu sesuai dinyanyikan sekali gus diselitkan ketika aktiviti bersenam bersama pesakit COVID-19.

“Waktu menari dan menyanyi memang terasa panas (memakai PPE), memang tinggi cabarannya tetapi sebagai petugas barisan hadapan hanya itu yang boleh saya bantu dari segi kesihatan mental kerana muzik dan senaman memainkan peranan untuk mengurangkan tekanan seseorang itu,” katanya yang memang gemar menyanyi.

Berdasarkan laporan JKNS terdapat 28 pusat kuarantin di negeri ini yang masih menempatkan 2,121 pesakit COVID-19. – Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *