Tanah Untuk Agensi Persekutuan Sudah Dilulus Sebelum 2016 – Pengarah JTU


KOTA KINABALU: Penyerahan 177 geran tanah yang diberikan kepada agensi persekutuan membabitkan kawasan tanah seluas 519.44 hektar atau 1,283.57 ekar.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Bernard Liew Chau Min berkata, terdapat dua kaedah pengambilan tanah bagi agensi persekutuan iaitu dengan mendapatkan tanah melalui tanah swasta seperti dinyatakan dalam Ordinan Pengambilan Tanah Sabah Bab 69 dimana, dana bagi pembayaran pampasan dibiayai oleh agensi persekutuan.

Beliau berkata, pada 2016, kerajaan negeri memutuskan semua tanah bagi pembangunan persekutuan akan dilakukan melalui permohonan tanah negeri dan tidak akan diberikan geran tanah sebaliknya diwartakan dibawah Seksyen 28 mengikut Ordinan Tanah Sabah Bab 68.

Maka, tanah itu kekal dibawah kerajaan Sabah. Tanah bagi pembangunan persekutuan juga perlu melalui proses pengambilan tanah dan pampasan akan dibayar sepenuhnya oleh agensi persekutuan dimana, mereka memiliki pajakan ke atas tanah tersebut.

“Antara tanah bagi pembangunan persekutuan yang telah diwartakan dan diselenggara dibawah kerajaan negeri adalah seperti bangunan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Jalan Sulaman dan Balai Polis Tawau.

“Tanah bagi pembangunan persekutuan akan diberikan geran dengan pegangan pajakan 99 tahun. Agensi persekutuan perlu membayar premium dan cukai tanah tahunan seperti pemilik tanah yang lain.

“Geran tanah yang diserahkan pada 18 Feb lalu bagi pembangunan persekutuan dimana, proses pemilikan tanah diluluskan sebelum 2016 dan bayaran premiumnya sudah dibayar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebanyakan tanah sudah dibina dengan sekolah, hospital dan juga kemudahan awam lain.

Geran tanah itu diserahkan kepada agensi kerajaan bertujuan untuk membina kemudahan awam seperti sekolah, hospital, balai polis, pejabat pos dimana ia digunakan untuk memberi perkhidmatan kepada orang awam.





Source link