SPRM Perlu Siasat ‘Katak’ Politik Di Sabah – Azis Jamman


AZIS JAMMAN

KOTA KINABALU: Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan untuk menyiasat semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Beliau berkata, siasatan itu perlu dilakukan berikutan pendedahan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Sabtu mengenai ‘katak’ politik.

Katanya, Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah pun membuat laporan di SPRM pada petang Sabtu bagi mendesak agensi itu menyiasat dakwaan wujudnya aktiviti ‘beli’ wakil rakyat di Sabah. Kertas siasatan perlu dibuka bagi memanggil semua ‘katak politik’ yang terlibat.

Ahli Parlimen Sepanggar ini mahu segala pendedahan yang dibuat oleh bekas KPN itu disiasat secara telus dan menyeluruh bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan di negara ini.

“Tekanan dan ugutan yang dinyatakan oleh bekas KPN itu secara jelas memberi gambaran situasi yang berlaku di Sabah. Keadaan itu mendorong Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN Sabah.

“Apabila kita dengar berulang kali kenyataan KPN itu beliau seolah-olah menggambarkan keadaan yang berlaku di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 29 Julai 2020, seramai 14 ADUN Warisan bertindak melompat keluar bagi menyokong Tan Sri Musa Aman untuk membentuk kerajaan negeri yang baru namun, cubaan itu tidak berjaya kerajaan keesokan harinya, Mohd. Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN.

Antara 14 ADUN itu ialah Datuk Hamisa Samad, Datuk Osman Jamal, Datuk Muis Picho, Datuk Bolkiah Ismail, Datuk Masiung Banah, Abdul Rahman Kangkawang, Datuk Musbah Jamli, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Saddi Abd Rahman, Datuk Anita Baranting, Jamawi Jaafar, Datuk Limus Jury, Datuk James Ratib dan Kenny Chua.





Source link