REMAJA NYARIS MAUT DIBAHAM BUAYA


TUARAN: Hasrat seorang remaja bersama tujuh rakannya mencari lokan dan siput bertukar menjadi tragedi apabila menjadi mangsa serangan seekor buaya.

Mangsa berusia 16 tahun itu tiba-tiba diserang haiwan ganas tersebut ketika sedang cuba menyeberangi Sungai Kampung Mengkabong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 3.30 petang dimana buaya itu menyerang secara tiba-tiba dan terus menarik mangsa ke dalam air.

Kecederaan yang dialami mangsa.
Foto ehsan Pembaca

“Ketika cuba menyeberangi sungai sedalam lebih satu meter itu, seekor buaya tiba-tiba muncul dari dasar sungai berhampiran paya bakau dan menyerang mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa bernasib baik selepas dibantu oleh rakan yang sempat menariknya sehingga terlepas dari cengkaman haiwan berkenaan,” katanya.

Hamizi berkata, sebaik mangsa terselamat, reptilia berkenaan terus menghilangkan masuk ke dasar sungai,” katanya.

Katanya, akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut, badan serta kaki kanan.

“Buaya yang menyerang mangsa dianggarkan sepanjang 1.5 meter dan kes sudah dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung reptilia berkenaan juga diminta menghubungi IPD Tuaran di talian 088-791 933, 088-791 966 atau 088-791 977,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *