Rakyat Usah Risau Untuk Ambil Vaksin COVID-19 – Bung


KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diingatkan agar tidak takut menerima suntikan vaksin Covid-19 yang akan berlangsung secara berfasa mulai bulan ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, meski terdapat banyak keraguan yang disuarakan masyarakat, vaksin itu ternyata berkesan dalam mengekang penularan wabak berkenaan.

“Beberapa buah negara luar yang terlebih dahulu menjalankan program seumpama, kini mampu menurunkan kadar kes di negara-negara mereka.

“Untuk tujuan vaksinasi ini, saringan kesihatan juga akan dilakukan sebelum vaksin diberikan dan  memastikan tiada kesan sampingan yang serius berlaku.

“Oleh itu, kita berharap kerajaan persekutan dan negeri dapat menjalankan program ini mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.

Bung turut menjelaskan tujuan kunjungan itu adalah untuk memaklumkan Tun mengenai perkembangan semasa pambangunan jalan raya dan perhubungan negeri serta sambutan ulang tahun UMNO di Sabah yang ke-30 yang jatuh pada hari ini.





Source link