Ibu Rayu Bantuan Darah Untuk Anak Talasemia


Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kesukaran mendapat darah yang jenis ‘O positif R1R1 JKA’ bagi anaknya yang menghidap Talasemia membuatkan Selly Onong merayu agar lebih ramai penderma tampil menderma darah.

Beliau berkata, sejak pandemik Covid-19, proses pemindahan darah untuk anaknya, Neowell Van Houttan, 20, sedikit sebanyak terganggu hingga menyebabkan keadaan anaknya bertambah lemah.

Selly berkata, memandangkan anaknya merupakan OKU Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), beliau agak risau sekiranya proses pemindahan darah untuk anaknya itu lambat dilakukan setiap bulan.

“Anak saya melakukan pemindahan darah setiap bulan dan kali terakhir dia menjalani pemindahan darah adalah pada 19 Jan lalu.

“Berdasarkan perancangan sepatutnya pada 5 Feb dia sudah menjalani pemindahan darah namun, berlaku kelewatan disebabkan kesukaran mendapat jenis darah yang sepadan dengan darah anaknya.

“Ketika ini juga berlaku kekurangan bekalan. Malah, anak saya juga baru dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, sebelum ini dia dirawat di Hospital Likas,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, hari ini.

Menurutnya, beliau merayu lebih ramai penderma darah tampil bukan hanya untuk membantu Neowell tetapi juga anak-anak lain yang turut menghidap talasemia dan perlu melakukan pemindahan darah setiap bulan.

Katanya, anaknya dikesan menghidap talasemia major sejak berusia empat tahun dan sejak itu, anaknya perlu menjalani proses pemindahan darah setiap bulan.

Beliau berkata, disebabkan jenis darah Neowell sukar diperoleh, ada kalanya beliau terpaksa menunggu bekalan darah dari Pusat Darah Negara (PDN) di Kuala Lumpur kerana kesukaran mendapat jenis darah yang sepadan.

“Jika darah yang diterima tidak sesuai dengan  Neowell, badannya akan mula beruam dan bengkak. Atas sebab itu, dia betul-betul perlukan darah yang sama iaitu ‘O positif R1R1 JKA’.

“Saya tidak mahu hanya terus menunggu bekalan darah dari hospital. Saya perlu berusaha merayu penderma darah untuk tampil agar proses pemindahan darah untuk anak saya dapat dilakukan secepatnya,” jelasnya.

Katanya, ada juga penderma darah yang tetap tapi ada kalanya jenis darah yang diterima tidak sepadan dengan darah yang Neowell perlukan.

Selly merayu agar lebih ramai insan prihatin menderma darah ketika pandemik ini bagi membantu pesakit seperti anaknya melakukan proses pemindahan darah.

Penderma yang ingin menderma darah kepada anaknya, boleh menderma darah atas nama Neowell Van Houttan di Hospital QEH 1 atau hubungi Selly (014-7357915).





Source link