22 Ekor Babi Dimusnahkan Untuk Kekang Penularan ASF Di Pitas


LAHAD DATU: Sejumlah 22 ekor babi di sebuah kampung di Pitas telah dimusnahkan dalam fasa pertama pelupusan haiwan itu bagi mengekang penularan Demam Babi Afrika (ASF) di daerah itu, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Kitingan, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, berkata lebih banyak babi akan dilupuskan segera dalam masa terdekat bagi memastikan wabak ASF tidak menular ke daerah berhampiran.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 2,000 ekor babi di Pitas dan kira-kira sejuta babi hutan dalam lingkungan 50 kilometer. Semua haiwan ini perlu dihapuskan,” katanya.

Beliau juga berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) telah melakukan kempen di 25 kampung bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ASF.

“Ini adalah sebahagian daripada 182 kampung di mana kempen itu akan diadakan. Bagaimanapun, jabatan itu telah memulakan kempen serupa di media sosial lebih awal lagi,” katanya.

Kitingan berkata pihaknya akan meningkatkan pengawasan di luar Pitas dan sudah mengumpul sebanyak 120 sampel dari pelbagai daerah untuk mengesan kehadiran virus ASF di seluruh Sabah.

‘Persampelan turut diperoleh dari rumah penyembelihan babi, pusat penjualan daging babi komersial dan vendor yang menjual daging babi hutan salai (sinalau bakas) di seluruh negeri, yang kini menjadi fokus dalam usaha membendung virus itu daripada merebak di luar Pitas.

“Daerah terjejas akan turut diisytihar sebagai kawasan wabak ASF mengikut Enakmen Haiwan 2015, yang memberikan kuasa penuh kepada JPVS untuk melaksanakan mekanisme pengurusan penyakit melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” katanya.

Kitingan mengingatkan semua pengendali komersial daging babi untuk meningkatkan pengurusan biokeselamatan di ladang masing-masing dan melaporkan semua kematian kepada JPVS bagi tujuan siasatan.

Beliau juga berkata susulan penemuan seekor babi hutan yang mati di sebuah pusat peranginan di Kinabatangan, JPVS dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) serta-merta menubuhkan satu pasukan bagi mengumpul sampel dan menyiasat punca kematian haiwan itu.

“Keputusan ujian makmal dijangka diperoleh pada Selasa minggu depan,” katanya.





Source link